
KUALA LUMPUR – Kes denggi terus meningkat dengan sebanyak 741 kes itu dicatatkan sepanjang minggu lalu termasuk satu kematian melibatkan seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun di Kampar, Perak.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman berkata, tujuh negeri turut menunjukkan peningkatan kes iaitu Pulau Pinang, Sarawak , Pahang, Perlis, Labuan, Sabah dan Kelantan.
“Jumlah terkumpul kes denggi dilaporkan (sehingga 7 September 2013) sebanyak 19,644 kes iaitu peningkatan sebanyak 4,396 kes berbanding 15,268 kes bagi tempoh yang sama tahun 2012.
“Jumlah kumulatif kematian denggi sehingga kini 39 kematian meningkat 12 kematian berbanding 27 kematian bagi tempoh yang sama tahun lalu,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Lokman Hakim berkata, terdapat sebanyak 201 kawasan wabak denggi dilaporkan di Selangor, Johor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Perak, Pulau Pinang, Terengganu, Melaka, Sarawak, Pahang dan Negeri Sembilan dengan Selangor dan Johor mencatatkan bilangan tertinggi.
Justeru, beliau meminta supaya masyarakat lebih prihatin dengan menjaga persekitaran rumah untuk memastikan kawasan bebas daripada pembiakan nyamuk aedes.
Menurutnya, peningkatan kes dan kawasan wabak dipengaruhi oleh peningkatan kadar pembiakan aedes yang mana meningkat sebanyak 13 peratus pada minggu lalu berbanding minggu sebelumnya.
Ia berpunca daripada sikap masyarakat yang membuang sampah merata-rata dan tidak mengurus pembuangan sampah dengan baik.
Sehubungan itu, katanya, Kementerian Kesihatan akan sentiasa menjalankan aktiviti penguatkuasaan dan jika didapati terdapat pembiakan aedes, tindakan kompaun dan mahkamah boleh dikenakan.
“Pemilik premis yang disabitkan kesalahan di mahkamah boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama dan untuk kesalahan kedua denda maksimum RM50,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya,” katanya.
Beliau dalam pada itu memaklumkan Ops Gempur Aedes Siri 3/2013 telah dilaksanakan di seluruh negara pada 9 September lalu mengeluarkan sebanyak 87 kompaun bernilai RM43,500 kepada premis yang mempunyai pembiakan Aedes.
0 komentar:
Posting Komentar